Home » » Pemuda PAS Terengganu berharap tiada sebarang pembubaran DUN

Pemuda PAS Terengganu berharap tiada sebarang pembubaran DUN


Pemuda PAS Terengganu berharap tiada sebarang pembubaran DUN berlaku untuk membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan di negeri ini.

Timbalan Ketuanya, Hishammuddin Abd Karim berkata, kos mengadakan satu-satu pilihan raya menelan belanja cukup besar sedangkan kepentingan rakyat perlu didahulukan lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.

Berdasarkan kepada tempoh pilihan raya lima tahun sekali, beliau menggambarkan tempoh PRU14 sudah tidak lama atau lebih kurang dua tahun dari sekarang.

“Kita harap PRN tidak berlaku sebab ia libatkan kos dan kepentingan rakyat. Kita kira sudah sampai pada satu tahap ia diselesaikan melalui PRU,” katanya yang juga ADUN Tepuh dalam laporan Sinar Harian, hari ini.

Bagaimanapun katanya, senario politik di Terengganu akan dilihat kembali selepas Sidang DUN, 8 Ogos ini samada ia berjalan lancar tanpa sebarang kejutan atau sebaliknya.

“Kalau ada (PRN) kita bersiap sedia sahaja. Ada khabar angin tapi mungkin boleh tengok selepas 8 haribulan, selepas Sidang DUN. Jadi, kalau PRN kita tetap bersedia,” katanya.

Sementara itu, Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Terengganu menggesa Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman agar membubarkan DUN dengan segera.

Ketuanya, Hasbie Muda berkata, ia berikutan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan beliau yang tidak stabil ketika ini.

“Gesaan ini selaras dengan peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu dan Menteri Besar sewajarnya bertindak cepat untuk mengembalikan mandat kepada rakyat,” katanya Rabu lalu.

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Your Link | Your Link | Your Link
Copyright © 2013. detikrakyat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger