Home » » Razif optimis kemelut politik Terengganu selesai

Razif optimis kemelut politik Terengganu selesai

Kuala Terengganu : Isu politik Terengganu dianggap selesai selepas tiada usul tergempar berkaitan jawatan menteri besar dibawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Menteri Besarnya, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata apa yang penting buat masa ini adalah fokus kepada pembangunan rakyat, lebih-lebih dalam tempoh setahun sebelum menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Keadaan kita terkawal, tiada apa-apa yang berlaku. Saya yakin persidangan ini tiada apa-apa permasalahan dan keadaan politik Terengganu selesai.
“Biasalah yang saya sebut, ada sedikit sebanyak perkara. InsyaAllah ia boleh diselesaikan. Yang penting sekarang kita bergerak ke depan untuk memastikan agenda pembangunan rakyat diutamakan,” kata Ahmad Razif kepada pemberita selepas Sidang DUN ditangguhkan pada tengah hari tadi.
KUALA TERENGGANU 8 AUGUST 2016. Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman (kanan) ketika menjawab soalan lisan di Mesyuarat ke 2 Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ketiga Belas di Wisma Darul Iman hari ini. NSTP/ROZANAH ZAKARIA.
Sidang DUN Terengganu yang diadakan pada hari ini dikatakan panas memandangkan krisis yang berlarutan itu boleh membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut di negeri berkenaan.
Krisis politik Terengganu kembali hangat apabila berlakunya pergeseran antara Ahmad Razif dengan bekas penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Said.
Ia berikutan tindakan Ahmad Said yang memberi kata dua kepada Ahmad Razif agar berundur sebelum beliau mengambil langkah susulan yang akan merubah keadaan politik di negeri itu.
Bagaimanapun sehingga DUN ditangguhkan pada jam 12.35 tengah hari tadi, tidak ada usul tidak percaya dibawa Ahmad Said.
Ahmad Razif yang juga ADUN Seberang Takir dalam pada itu memberitahu tidak akan mengadakan sebarang perjumpaan dengan Ahmad Said dalam menyelesaikan pergeseran antara mereka berdua.
“Tidak ada. Saya yakin dan percaya orang Umno-BN semangat kita lain. Semangat kita menjaga parti dan kepentingan kepada rakyat. Saya sebutkan tadi kita dah selesai,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama Ahmad Said mengugut mengusulkan undi tidak percaya kepada Ahmad Razif.
Sebelum ini beliau pernah mengambil tindakan yang sama pada sidang DUN, Mac lalu, namun ditolak Speaker, Datuk Mohd Zubir Embong.
Sidang DUN yang bermula pada jam 9.30 pagi tadi menyaksikan kesemua anggota dewan hadir kecuali Anggota DUN Rhu Rendang, Datuk Seri Hadi Awang.

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Your Link | Your Link | Your Link
Copyright © 2013. detikrakyat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger